Pernah suatu ketika dahulu aku cuba untuk diet, tetapi cara yang salah. Akibatnya, terjelepek aku keletihan dan craving tahap gaban. Akhirnya aku melantak habis-habisan dan berat tidak turun-turun bahkan bertambah.
Diet cara yang salah dan sesat ni biasanya tak bertahan lama. Biar setinggi gunung everest sekalipun motivasi ada pada diri, tetapi tubuh fizikal tidak akan dapat bertahan.
Antara cabaran utama apabila diet ialah lapar dan craving. Craving ni ialah “rasa geram nak makan”. Ramai yang tersungkur kerana craving. Cara terbaik pula nak redakan craving ialah dengan makan. Sekarang aku telah menemui kebenaran tentang cara diet yang betul. Walaupun aku bukan pakar dalam bahagian nutrition atau dietician tetapi mengenali mitos dan fahaman sesat tentang diet ialah sangat penting. Agar tidak berakhir dengan kekecewaan dan kegemukan. Bab kata orang “pi mai pi mai tang tu ajo".
5 Ajaran sesat yang aku faham sebelum ini pasal diet menguruskan badan ialah:
- Elakkan makan nasi. Ini adalah fahaman paling sesat tahap gaban. Fahaman ini masih lagi menular dengan meluas dan perlu dipantau dengan hati-hati oleh BERNAS Malaysia. Kalau tidak dipantau dan dikawal, ia boleh menyebabkan kejatuhan ekonomi beras negara. Sampai sekarang aku tak faham kenapa ramai masih menyalahkan nasi yang menyebabkan gemuk. Sedangkan nasi itu ialah makanan tradisi sejak beratus tahun dari zaman sumpahan Mahsuri lagi. Yang paling meloyakan aku ialah, ada yang mengagungkan makanan barat seperti burger, potatoes, spaggeti sedangkan makanan-makanan tersebut juga adalah sumber karbohidrat juga. Kebenaran yang aku perolehi ialah, nasi bukanlah punca utama kegemukan, tetapi kuantiti yang dimakan. Nasi adalah sumber karbohidrat terbaik, cuma perlu diambil dalam kuantiti yang diperlukan sahaja iaitu sebesar penumbuk tangan. Kalau bantai sampai separuh periuk tu memang bukan salah nasi, tapi salah tangan dan mulut si pelantak itu.
- Kalau nak diet kena skip sarapan tertentu. Ini fahaman sesat yang agak popular. Kalau ikutkan saranan yang betul, kena makan 5 kali sehari. Whaatttt !!! 5 kali sehari. Akan tetapi, kebiasaanya ramai kita makan 3 kali sehari kerana kekangan masa. Apabila berpegang pada ajaran sesat suruh skip meal ni, dari 3 kali yang wajib makan tu, akan jadi satu kali sahaja. Selebihnya bantai air kosong dan produk MLM. Aku tertanya-tanya pada diri aku, kalau lah benar ajaran ini, maka kenapa dari 1 kali ajo makan sehari, baik terus tak makan biar terus KO masuk kubur. Ini bukan setakat berat boleh hilang tetapi nyawa pun boleh melayang. Kebenarannya yang aku perolehi ialah, makan hendaklah sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Lebih baik 5 kali sehari. Tetapi apa yang penting ialah kuantiti pengambilan makanan janganlah melebihi dari kalori yang diperlukan. Antara sarapan wajib 3 kali sehari itu, aku makan makanan ringan (snack time) seperti 2 keping sandwich tuna ataupun biskut. Dengan menggunakan strategi ini, aku berjaya mengelakkan craving terhadap makanan.
- Makan buah-buahan banyak-banyak sebagai ganti nasi. Ini ajaran sesat tahap ringan. Memang betul makan buah-buahan itu bagus memandangkan ianya mengandungi serat fiber. Dan sesuai bagi yang sembelit berak tahi kambing apabila berdiet. Tetapi perlu diingat, bukan semua buah bagus dimakan sesuka hati. Ini kerana buah juga mengandungi gula ringkas dan mempunyai kalori. Apabila mengambil sesuka hati tanpa mengira kalori, maka ianya akan berpotensi menjadi lemak dalam badan. Yang penting ialah kuantiti dan kualiti buah yang diambil. Kalau takat bedal durian 10 biji (100 ulas) jangan harap la nak kurus walaupun dengan alasan makan buah kerena nak ganti nasi.
- Kalau nak kurus kena bergantung kepada produk MLM sepanjang hayat. Konseps meal replacement produk yang diperkenalkan oleh MLM company ialah high protein diet dan low carbohidrat diet. Oleh kerana sifat protein itu memberi rasa kenyang dan mengurangkan craving, maka secara umumnya berat akan turun kerana jumlah kalori yang diambil adalah kurang dari keperluan kalori harian. Akan tetapi, ramai yang pengguna produk MLM ni pemalas bab kira kalori. Kadang kala mereka bedal 5 kali meal shakes menyebabkan purata pengambilan kalori mereka adalah kurang dari 1000 kalori setiap hari. Maka ini menyebabkan mereka terjelepek keletihan. Ramai yang kecundang walaupun konsisten mengambil produk ini, berat tak turun-turun, bahkan naik lagi teruk sebab sentiasa craving kerana low calori diet. Lagi teruk, duit berkoyan-koyan habis dibelanjakan. Pokok pangkalnya, kena kira kalori juga walaupun ambil produk ini. Akan tetapi, kalau dah pandai kira kalori, boleh dikatakan pengambilan produk ini tidak perlu. Kecuali kalau duit ada berkepuk-kepuk dalam poket, tak habis belanja 70 keturunan.
- Kurangkan pengambilan karbohidrat dan lebihkan pengambilan protein. Kalau nak nampak praktikal lagi fahaman sesat ini ialah "lebihkan makan lauk dan kurangkan makan nasi". Ini fahaman sesat level tinggi sikit kerana ia melibatkan teori sains yang memeningkan kepala. Di sini biar aku permudahkan. Dalam tubuh kita, ada 3 benda ajo yang digunakan sebagai sumber tenaga mengikut urutan. Yang Pertama ialah karbohidrat, biasanya simpanan karbohidrat tak banyak, lepas tu sumber Kedua yang digunakan ialah Protein dari otot kita. Last sekali barulah lemak dipecahkan untuk sumber tenaga. Kalau sumber karbohidrat terlebih, akan disimpan sebagai lemak, sumber protein terlebih disimpan sebagai lemak, dan sumber lemak terlebih juga akan disimpan sebagai lemak. Kot mana pun, kena kira kalori juga. Kalau terlebih makan protein (lauk-lauk), berat tak akan turun juga.
Sekian.
No comments:
Post a Comment