Thursday, 29 November 2012

5 Kaedah Mendapat Kesedaran Untuk Kurus

Kesedaran atau nama glamer lain ialah "awareness". Kenapa kesedaran ini sangat penting? Sebab segalanya bermula dari kesedaran. Sebab tu banyak kempen kerajaan ada perkataan "kempen kesedaran" sebab ramai lagi masyarakat masih tidak sedar.

Kalau bab gemuk pula, terdapat beberapa kejadian yang berlaku kepada aku menyebabkan aku tersedar bahawa aku mesti kurus. Akan tetapi, untuk menunggu kesedaran itu datang, amatlah malang sekali, terutama apabila perut dah boyot dan montel.

Aku tersedar apabila aku merasa tidak selesa dengan tubuh aku, dikritik dibelakang secara senyap-senyap oleh ibu mertua aku, terpaksa membeli seluar bersaiz besar lantaran perut dan paha membesar. Kerap kali juga isteri aku tertawa melihat spare tayar aku. Tidak lupa juga anak-anak aku yang selalu mencucuk jari mereka ke perut aku dan mengatakan "ayah sudah gemuk", dikhalayak ramai pulak tu.

Aku yakin situasi ini juga berlaku kepada mana-mana si gemuk dan si boroi di luar sana. Ini perkara biasa untuk menyedarkan kita (jika dipandang dari sudut minda positif). Alarm sudah berbunyi, wake up call sudah datang. Jadi apa respon kita.

Pada mulanya, aku bersifat denial, tidak dapat menerima hakikat ini. Jauh disudut hati aku, sangatlah menginginkan berat badan yang unggul dan tubuh yang hensem dan sihat. Kadang kala malu untuk berjumpa kawan-kawan lama takut di kritik "boroi".

Jadi bagaimanakah nak dapatkan kesedaran tentang status diri kita? Ini 5 langkahnya

Pertama: Cermin diri kita dihadapan cermin yang besar. Paling kurang, biarlah nampak bahagian perut tu. Kalau setakat nampak batang hidung dan pipi sahaja tidak cukup. Kalau berdasarkan pengalaman aku, dinding dalam lif tempat kerja aku adalah tempat paling aku benci nak lihat suatu ketika dahulu, sekarang aku gembira setiap kali menaiki lif tersebut kerana aku sudah kurus. Akan tetapi, kalau sudah melihat cermin, tubuh yang gemuk gedempul pun dirasa sangat hensem, maka itu petanda kesedaran belum menusuk masuk dalam hati kita.

Kedua: Minta pendapat jujur dari ahli keluarga terdekat pandangan mereka tentang berat badan kita. Biasanya kalau dalam keluarga jenis mulut laser, tak payah minta pun akan di laser setiap hari. Dalam kes aku, isteri aku, ibu mertua dan anak-anak yang main peranan duk kritik aku.

Ketiga: Jumpa doktor atau pengamal kesihatan untuk mengesahkan status berat badan. Aku selalu mengira BMI (Body Mass Index), rupa-rupanya ada lagi formula bagus iaitu Ideal Body Weight (IDW) yang lebih baik untuk mengetahui berat badan sesuai untuk diri aku. Sebelum diet, berat tertinggi aku ialah 70kg, selepas aku mulakan program diet dan exercise berat menurun sehingga 63kg. BMI aku juga menurun, akan tetapi Berat Badan Ideal masih belum tercapai iaitu sekitar 55-57 kg. Pandangan dari sudut kesihatan sangatlah penting kerana segala apa yang mereka cadangkan adalah berdasarkan kajian saintifik.

Keempat: Lihat gambar-gambar lama. Gambar aku paling hensem ialah sejurus sebelum kahwin, dengan berat badan ialah 59kg. Itulah modal utama untuk isteri aku mengkritik berat badan aku.

Kelima: Tingkatkan ilmu pengetahuan dan kurangkan ketidakpedulian. Apabila umur aku meningkat, aku lebih concern tentang kesihatan, aku banyak membaca pasal kaedah mencegah penyakit kronik dan aku mula bermuhasabah tentang diri aku. Aku mendapati, hidup ini bukanlah bermatlamatkan "makan dan melantak" semata-mata, tetapi makan hanya untuk sekadar keperluan hidup. Terdapat banyak perkara perlu difikirkan, terutama tentang rakyat negara lain yang miskin dan kebuluran. Sedikit sebanyak ia memberikan keinsafan kepada diri aku agar jangan berlebih-lebihan makan.

Tu tips yang berkesan untuk diri aku. Kalau masih belum sedar-sedar lagi. Tidak mengapa, tunggu ajolah perut boyot tu membesar dan meletup. Ataupun bila terpaksa tukar suspension kereta kat bahagian pemandu setiap 6 bulan sekali baru tahu bahawa tiba masanya untuk kurus.

Sekian.

No comments:

Post a Comment